PENDAHULUAN
Proses
pengajaran dan pembelajaran menjadi satu elemen penting dalam perkembangan
pendidikan. Perkembangan kemajuan dalam zaman ICT telah membawa jauh alam
pendidikan dengan perisian-perisian yang sangat tercanggih. Kaedah – kaedah
lama semakin jauh ketinggalan di telan zaman. Walaubagaimanapun kita
masih terikat dengan model-model pengajaran dan teori-teori yang ada
hubungkaitnya dalam psikologi pendidikan. Menurut Griffith W. Williams
psikologi adalah satu cabang penyiasatan tingkah laku manusia dalam suasana
pembelajaran . Kajian saintifik terhadap tingkahlaku individu adalah berkait
rapat terhadap prinsip dan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang digunapakai
untuk menyelesaikan masalah (Smith 1978). Dapatan-dapatan ini akhirnya
menghasilkan satu teori atau kaedah dalam perolehan ilmu pengetahuan.
Pengajaran adalah satu
proses penyebaran ilmu pengetahuan atau kemahiran supaya dapat dipelajari
dengan berkesan. Daripada tidak tahu kepada lebih tahu pelajar akan berubah dan
menukar tingkah laku kepada sesuatu yang baru. Drisoll(1994) menghuraikan
bahawa pembelajaran pula adalah satu proses pembaharuan prestasi
secara berterusan dalam diri manusia hasil interaksi pembelajaran dengan
alam sekitar. Pembelajaran adalah satu proses perolehan ilmu pengetahuan
melalui pengalaman, membuat penerokaan, mendapat latihan sehingga berlaku
perubahan tingkah laku dalam diri pelajar. Oleh itu pembelajaran itu
adalah satu proses yang mengubah keadaan, sikap, pengetahuan manusia melalui
pengalaman
Pada asasnya konsep
pengajaran dan pembelajaran adalah berlandaskan kepada teori-teori pembelajaran
masa kini. Teori-teori pembelajaran terdiri daripada kognitif,
konstruktivitisme, behaviorisme dan humanistic. Pengalaman ilmu pengetahuan
yang diperolhi dalam proses pembelajaran berlaku secara berperingkat-peringkat
yang menghasilkan satu perubahan tingkahlaku manusia.
TEORI PEMBELAJARAN KOGNITIF.
Teori adalah berkaitan dengan proses mental
yang melibatkan pengamatan, pengetahuan dan pemahaman. Ahli-ahli psikologis
yang terkenal seperti Kohler, Koffa,Piaget,Brunner, Ausuble,dan Gagne.
Mereka semua berpendapat proses pembelajaran adalah satu proses dalaman yang
berlaku dalam akal fikiran yang tidak dapat diperhatikan secara langsung
daripada tingkah laku manusia. Proses celik akal, pemprosesan maklumat
menggunakan struktur dalaman kognitif dari pelbagai peringkat umur dan
kebolehan murid. Semua maklumat yang di terima di padankan dengan
makluamat yang sedia ada, diubahsuai dan disusun semula seterusnya
menghasilkan sesuatu maklumat yang baru.
PRINSIP-PRINSIP KOGNITIF:
1. Bahan –bahan pembelajaran di susun daripada mudah ke susah.
2. Memahami pembelajaran lebih baik daripada hafazan.
3. Pengetahuan sedia ada murid digunapakai dan disesuaikan dengan
pembelajaran yang baru.
4. Isi pelajaran perlu disusun mengikut pola-pola yang tertentu
supaya murid lebih mengingati.
5. Setiap murid mempunyai perkembangan individu yang berbeza.
PENDEKATAN TEORI KOGNITIF.
1. Menekankan kepada proses mental dalam yang bermaksud maklumat yang di
terima diproses melalui perbandingan, peniruan dan penyatuan dengan maklumat
lain yang sedia ada, diubahsuai pula dan disusun semula.
2. Menekankan kepada proses pengamatan, ingatan, pemikiran, dan
penyelesaian masalah.
TEORI PEMBELAJARAN KONSTRUKTIVITISME.
Teori ini adalah berkaitan dengan pengajaran
yang berdasarkan kepada penyelidikan dan pengalaman. Pembelajaran terbina
daripada hasil pencatuman maklumat dengan pengetahuan sedia ada. Proses
pembelajaran di bawah teori ini juga menggalakan pelajar berkomunikasi
dengan bahan untuk mendapatkan jawapan. Murid di beri peluang meneroka
sepuas-puasnya dan mendapatkan jawapan serta kesimpulan sendiri.
Tokoh-tokoh yang terkenal terdiri daripada Jean Piaget, Bruner, Lev
Vygotsky dan John Dewey. Kesemua tokoh-tokoh ini melihat proses pembelajaran
sebagai aktivfiti pembinaan mental yang dicantumkan dengan maklumat baru. Teori
ini menekankan kepada penglibatan pelajar dalam menyelesaikan masalah. Pelajar
akan membina pengetahuan sendiri untuk menjana idea dengan berdasarkan
pengetahuan sedia ada. Semua maklumat baru yang ada akan diolah dan disesuaikan
dengan satu kerangka maklumat baru yang dinamakan Konstruktivistime.
PRINSIP-PRINSIP PEMBELAJARAN KONSTRUKTIVISME
- Proses pembelajaran yang berlaku adalah proses sesuatu aktiviti yang aktif.
- Semasa proses pembelajaran berlaku , ianya melibatkan aktiviti sosial dan perkembangan bahasa sesama murid. Contohnya aktiviti yang dijalankan secara kumpulan ketika bermain lego.
- Murid akan belajar dan mendapat sesuatu input yang baru semasa proses belajar dilangsungkan.
- Aktiviti yang dijalankan melibatkan perkembangan minda, pergerakan fizikal dan pengetahuan sedia ada murid.
- Guru sebagai fasilitator dalam proses aktiviti pengajaran dan pembelajaran dijalankan.
- Pengetahuan dan idea setiap murid akan digunapakai dalam proses pembelajaran.
IMPLIKASI TEORI PEMBELAJARAN KOGNITIF DAN KONSTRUKTIF DALAM PENGAJARAN
DAN PEMBELAJARAN.
- Guru perlu menggunakan bahasa yang sesuai dengan tahap kebolehan murid supaya mudah difahami dan murid memahami objektif yang hendak dicapai oleh guru.
- Guru perlu bersedia dengan bahan-bahan yang dapat meransang minda murid dan senantiasa diubahsuai mengikut aktiviti yang akan dijalankan.
- Guru semestinya peka kepada kesesuaian persekitaran pembelajaran terutama dalam bilik darjah supaya dapat mendorong atau memotivasikan murid untuk terlibat dalam aktiviti pembelajaran.
- Proses pembelajaran yang berlaku perlu mengambilkira pengetahuan sedia ada murid dan menggunakan pengetahuan tersebut dalam pembelajaran yang baru. Contohnya aktiviti makan dan minum yang telah dipelajari dirumah, disekolah guru boleh mengukuhkan lagi dengan menerapkan adap-adap semasa makan.
- Guru bertindak sebagai pemudah cara dan sentiasa menbantu murid dalam aktiviti pembelajaran.
- Keadah pembelajaran secara koperatif dan kolaboratif sangat efektif digunakan dalam proses pembelajaran.
- Penilaian secara tradisi sangat tidak sesuai digunakan lagi, dan teknik pembelajaran seperti hafazan dan syarahan tidak menjadi begitu efektif berbanding aktiviti berkumpulan.
TEORI PEMBELAJARAN JEAN PIAGET
Teori pembelajaran Piaget lebih
menekankan kepada konsep perkembangan, pertumbuhan kecerdasan yang dipengaruhi
oleh lingkugan sosial dan kematangan. Ahli psikologis yang berasal dari
Switzerland menyatakan bahawa semua kanak-kanak mempunyai kecenderungan yang
berbeza mengikut keupayaan dan kebolehan masing-masing. Menurut Piaget ada 4
tahap perkembangan yang akan dilalui oleh semua kanak-kanak.
1) Tahap sensorimotor iaitu dari lahir sehingga berumur 2 tahun dimana
kanak-kanak akan memerhati dan melalui pengalaman akan mempelajari
sesuatu yang dilihat, dirasa dan disentuh.Pada peringkat ini kanak-kanak akan
menggunakan deria motor untuk memahami dan berinteraksi dengan persekitaran.
Pada tahap ini juga tiada konsep pengekalan kerana kebolehan mental sangat
terhad kepada objek yang dapat dilihat sahaja.
2) Tahap pra-operasi iaitu dari 2 tahun hingga 7 tahun dimana
kanak-kanak mula menggunakan kecekapan kemahiran motor kasar dan
halus untuk meneroka sesuatu yang baru. Pada peringkat ini kanak-kanak
mula memahami symbol dan keupayaan berbahasa yang sangat terhad untuk
mengambarkan sesuatu konsep. Perkembangan kognitif akan menjadi lebih pesat
apabila kanak-kanak mula fasih bertutur.
3) Tahap operasi konkrit iaitu dari 7 tahun hingga 11 tahun dimana
kanak-kanak mula menggunakan pengetahuan dan akal fikiran untuk mempelajari
sesuatu yang konkrit. Kebanyakannya pada tahap ini kanak-kanak memerlukan objek
dan peristiwa-peristiwa sebelum dapat menyelesaikan beberapa masalah. Pada
peringkat ini juga kanak-kanak sudah boleh mempelajari lebih daripada satu
perkara dalam satu masa. Namun demikian keupayaan berfikir secara logik masih
terbatas kepada konkrit sahaja.
4) Tahap operasi formal iaitu berumur 11 tahun ke atas yang akan
lebih mempelajari sesuatu yang lebih abstrak.( dari konkrit ke abstrak).Ini
adalah peringkat perkembangan kognitif yang paling penting di mana
kanak-kanak akan berusaha menyelesaikan masalah yang konkrit dan abstrak.
Penglibatan kanak-kanak yang lebih aktif akan menggalakan perkembangan
pemikiran dan membuat penaakulan.
Merujuk kepada tahap-tahap perkembangan
di atas, Piaget telah menunjukkan semua kanak-kanak cuba
mengadaptasikannya mengikut kepada pengalaman dan kesesuaian keadaan.
Adaptasi dan keseimbangan adalah saling berkait dan saling mempengaruhi antara
satu sama lain. Urutan setiap tahap tersebut tidak dapat diubah dan saling
berkaitan secara tidak langsung.Menurut Piaget proses perubahan tingkahlaku
individu untuk mengadaptasikan diri dalam alam sekitar adalah sebenarnya proses
pembelajaran. Proses asilimasi di mana semua pengalaman lalu akan akan
dikaitkan dengan pengalaman yang baru untuk menghasilkan sesuatu yang
lebih baru. Pengalaman yang baru tersebut pula dinamakan akomodasi iaitu
satu proses yang merubah struktur kognitif.
IMPLIKASI TEORI PEMBELAJARAN PIAGET DALAM PROSES PENGAJARAN DAN
PEMBELAJARAN.
1. Pengetahuan sedia ada digunakan dalam proses pembelajaran untuk
menghasilkan satu sistem maklumat yang baru.
2. Isi pelajaran akan dikembangkan dan dikaitkan dengan mengikut peringkat
kognitif kanak-kanak dan tahap keupayaan masing-masing.Contohnya dalam mata
pelajaran Bahasa Melayu dengan tema buah-buahan. Murid akan diberi penerangan
mengenai jenis –jenis buah-buahan tempatan, serta dikaitkan dengan rasanya.
Pada tahap ini murid-murid akan memberikan berbagai cerita atau pendapat
berdasarkan pengalaman.
3. Isi pelajaran akan disusun daripada konkrit ke abstrak iaitu dari senang
ke susah. Contoh dalam matapelajaran matematik. Konsep pra nombor akan diajar
dulu sebelum mempelajari nombor.
4. Penglibatan kanak-kanak adalah secara aktif dalam aktiviti
kumpulan digalakkan dan mereka saling berinteraksi antara satu sama lain.
Komunikasi dua hala dan bertukar pendapat semasa menjalankan aktiviti
menggalakkan perkembangan bahasa.
5. Motivasi secara instrinsik dipupuk supaya kanak-kanak dapat digerakkan
secara aktif dalam aktiviti. Contohnya dengan memberi pujian , kata-kata
galakan, dan sokongan dapat merangsang mereka.
TEORI PEMBELAJARAN LEV VYGOTSKY.
Lev Vygotsky adalah seorang ahli psikologis, dan
karyanya sangat terkenal di dunia barat pada tahun 1960an. Teori Vygotsky
lebih menekankan kepada interaksi antara aspek internal dan eksternal
dalam pembelajaran . Menurut Vygotsky sistem sosial sangat penting dalam
perkembangan kognitif kanak-kanak. Mereka akan berinteraksi dan
berkolaborasi untuk mengembangkan sesuatu yang baru. Vygotsky
menekan bahawa perkembangan kognitif seseorang kanak-kanak sangat dipengaruhi
oleh sosial dan budaya . Teori beliau juga ada menyebut mengenai “scaffolding”
iaitu memberikan sejumlah besar bantuan pada tahap awal pembelajaran dan
kemudian mengurangi bantuan tersebut dan memberikan kesempatan kepada
kanak-kanak mengerjakan sendiri. Bantuan yang diberi adalah seperti
peringatan, petunjuk dan dorongan sehingga kanak-kanak tersebut
boleh melakukannya. Dalam teori ini menyatakan potensi murid dapat
dikembangkan melalui usaha dan pengalaman sendiri dalam proses pembelajaran,
sehingga ke satu peringkat kanak-kanak akan boleh melakukannya sendiri tanpa
bantuan orang lain.
KONSEP KONSTRUKTIVISME VYGOTSKY
Merujuk kepada gambarajah di atas , Vygotsky telah menerangkan mengenai
konsep “scaffolding” . Kanak –kanak mempunyai had perkembangan individu yang
berbeza. Setiap kanak-kanak akan melalui proses pembelajaran dengan bantuan rakan
dan guru sehingga berjaya menguasai dengan sendiri. Proses ini akan
berulang-ulang berkali-kali sehingga kanak-kanak mempunyai keyakinan untuk
melakukannya sendiri walaupun masih mengharapkan bimbingan daripada orang lain.
Pada peringkat ini kanak-kanak akan menunjukkan kebolehan menyelesaikan masalah
melebihi daripada kebolehan diri sendiri. Pada satu peringkat dimana
kanak-kanak berjaya melakukan aktiviti-aktiviti yang sukar tanpa bantuan orang
lain berdasarkan pengalaman masing-masing.
IMPLIKASI TEORI PEMBELAJARAN VYGOTSKY TERHADAP PENGAJARAN DAN
PEMBELAJARAN.
1. Pembelajaran dijalankan secara koperatif supaya murid-murid dapat
berinteraksi antara satu sama lain. Contoh dalam mata pelajaran sains, murid
akan diminta membuat satu uji kaji mengenai tumbuhan dalam kumpulan. Mereka
akan berbincang dan mengeluarkan pendapat masing-masing dengan menggunakan
pengetahuan sedia ada untuk mencapai satu keputusan.
2. Konsep bantu sepenuhnya dan cuba sendiri dalam pembelajaran
merupakan satu interaksi pengalaman yang berkesan. Contohnya ada
sekumpulan murid dalam ujikaji sains seperti diatas memerlukan bantuan guru
untuk memberi idea dan menggerakkan mereka dalam aktiviti tersebut sehingga
mencapai satu keputusan.
3. Perkembangan kognitif murid akan lebih teransang sekiranya pengetahuan
sedia ada digunakan dalam proses pembelajaran. Contohnya dalam aktiviti seperti
di atas juga, murid akan cuba menggunakan pengalaman masing-masing untuk di
adaptasikan dalam ujikaji sains tersebut. Semasa proses ini berlansung pelbagai
percubaan yang berulangkali dilakukan sehingga objektif dapat dicapai.
IMPLIKASI TEORI PEMBELAJARAN KOGNITIF DAN KONSTRUKTIVITSME DALAM
PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN KANAK-KANAK BERKEPERLUAN KHAS.
1. Pengalaman –pengalaman belajar perlu disesuaikan dan dikembangkan dengan
keperluan kognitif kanak-kanak Ini bermaksud sebelum memulakan proses
pengajaran dan pembelajaran guru perlu mengetahui pengetahuan sedia ada murid
agar sesuai dengan isi pelajaran yang akan disampaikan. Contohnya dalam
aktiviti kemahiran hidup iaitu komponen berkebun. Bersoal jawab hendaklah
berkaitan dengan tanaman atau sayuran yang biasa dilihat oleh kanak-kanak
dirumah. Sekiranya kanak-kanak tersebut suka memakan sayuran kacang panjang
sudah tertentu ianya akan begitu teruja hendak belajar cara-cara menanam pokok
kacang panjang. Isi pelajaran akan lebih bermakna dan kanak-kanak akan mendapat
mengembangkan satu maklumat baru yang berkait dengan pengetahuan dan pengalaman
yang sedia ada.
2. Pemusatan perhatian seharusnya lebih ditumpukan kepada proses kognitif
kanak-kanak dan tahap keupayaan yang berbeza. Walaupun aktiviti dijalankan
dalam kumpulan namun tahap mereka sangat berbeza. Kepakaran guru sangat
diperlukan supaya kanak-kanak tidak berasa dipinggirkan. Contohnya dalam
kumpulan murid tersebut diberi tajuk yang sama tetapi aktiviti setiap satunya
berbeza. Misalan dalam matapelajaran matematik, dengan tajuk nombor 0-5. Jadi
dalam satu kumpulan tersebut ada murid yang akan membilang nilai nombor dengan
menggunakan alat pembilang atau yang lain akan menggunakan plastesin untuk
membentuk nombor. Sementara yang lain pula akan mewarna atau menyambung garisan
putus-putus yang berkaitan dengan nombor tersebut. Dalam proses ini guru dapat
memberi tumpuan sepenuhnya kepada setiap orang murid secara individu untuk
mencapai objektif pembelajaran.
3. Keutamaan harus diberikan kepada penglibatan murid yang
aktif dan berusaha sendiri dalam aktiviti pembelajaran. Ini bertujuan memberi
ruang kepada murid untuk berinteraksi dengan rakan dan bahan-bahan pembelajaran
secara meluas. Contoh dapat dilihat dalam aktiviti kemahiran manipultif.
Kanak-kanak akan diberi peluang bermain dengan lego, berbincang dan bekerjasama
dengan rakan untuk mencipta sesuatu binaan. Guru perlu menghidupkan suasana
pembelajaran tersebut dengan pelbagai kaedah supaya kanak-kanak merasa ada
keinginan untuk melakukannya.
4. Perbezaaan individu perlu diambil kira supaya setiap aktiviti
dapat disusun mengikut tahap keupayaan masing-masing. Pengalaman sebagai guru
Pendidikan Khas, kita perlu mengetahui sedikit sebanyak latar belakang
kanak-kanak tersebut. Ianya banyak membantu dalam proses pengajaran dan
pembelajaran. Contohnya seorang kanak-kanak autisme yang terlalu sukar untuk
difahami. Kadang kala beliau akan menjadi pasif dan terlalu aktif dalam setiap
masa. Berbanding dengan seorang kanak-kanak perkembangan lambat (slow learner)
yang boleh dikategorikan dalam kumpulan yang boleh belajar. Oleh yang demikian
bahan –bahan dan aktiviti pembelajaran yang berkaitan adalah sangat berbeza
antara keduanya. Guru perlu tahu kehendak dan mood kanak-kanak ini sebelum
memulakan pengajaran. Mood dan kehendak itu pula perlu diubahsuai dengan
objektif dan aktiviti pembelajaran supaya kanak-kanak tersebut tidak rasa
rendah diri dan terasing.
5. Guru perlu mendorong dan memotivasikan kanak-kanak berkeperluan khas ini
dalam proses pembelajaran. Mendekati mereka dengan penuh kepercayaan dan kasih
sayang akan membuat mereka rasa dihargai dan rasa diterima. Lenggok dan bahasa
badan guru bukan sahaja dapat memberikan keyakinan kepada mereka bahkan
melenyapkan sedikit sebanyak rasa rendah diri yang ada dalam diri mereka.
Secara tidak langsung mereka akan mempercayai guru adalah rakan yang baik dan
boleh menerima mereka. Penggunaan bahasa yang sesuai dengan aras mereka serta
mudah difahami banyak membantu menyampaikan maksud atau hasrat yang hendak
disampaikan oleh guru. Selain daripada itu ganjaran dari segi materialistik
seperti gula-gula, biskut, kata-kata pujian dan senyuman guru akan turut
memotivasikan kanak-kanak tersebut. Objektif pembelajaran akan lebih cepat
tercapai jika guru dapat menggunakan barang-barang permainan sebagai bahan
bantu mengajar. Kanak-kanak akan cepat teransang dan dapat digerakkan untuk
melakukan akitviti-aktiviti pembelajaran.
6. Bagi kanak-kanak berkeperluan khas, bantuan akan diberikan sepenuhnya
pada peringkat awal, yang akan dikurangkan secara beransur-ansur sehingga
kanak-kanak tersebut boleh berdikari dengan sendirinya. Contohnya dapat dilihat
dengan jelas dalam aktiviti pengurusan diri iaitu memakai pakaian. Pada
peringkat pertama guru akan membantu kanak-kanak tersebut memakai pakaian
mengikut langkah-langkah betul. Aktiviti ini akan dilakukan secara latihtubi
sehingga kanak-kanak tersebut berkeyakinan untuk melakukan sendiri. Akhirnya
kanak-kanak tersebut akan diberi ruang dan masa memakai pakaian dengan sendiri
sehingga berjaya. Guru pada ketika itu hanya memberikan arahan sahaja supaya
kanak-kanak tersebut dapat mengingati semula langkah-langkah yang telah
dipelajari.
7. Bagi kebanyakan kanak-kanak berkeperluan khas penilaian di buat lebih
kepada pemerhatian. Berdasarkan pengalaman saya, penilaian secara pemerhatian
banyak membantu guru mengkaji dan memahami perlakuan kanak-kanak tersebut.
Pemerhatian boleh dibuat samada secara individu atau ketika kanak-kanak
tersebut dalam kumpulan. Perubahan tingkah laku yang ditunjukkan akan
memberikan jawapan kepada guru semasa membuat pemerhatian. Perubahan tingkah
laku tersebut boleh berlaku juga apabila kanak-kanak berinteraksi dengan
bahan-bahan pengajaran atau bahan media.
8. Peranan guru pendidikan khas adalah sama dengan tugas guru di arus
perdana. Sebelum menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran, perancangan
perlu dilakukan dengan teliti supaya objektif dapat dicapai sepenuhnya. Guru
mesti memainkan peranannya sebagai pemudah cara atau penolong dalam setiap
aktiviti pembelajaran. Guru perlu mahir memilih bahan-bahan yang sesuai dengan
aktiviti yang dirancang. Guru juga berperanan sebagai pembimbing yang sentiasa
membantu murid-murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
RUMUSAN.
Keseluruhannya teori – teori yang telah dibincangkan di atas telah
menyentuhkan banyak perkara dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Kedua-dua
teori tersebut saling berkait antara perkembangan kognitif dan proses
penyelidikan, proses meneroka dan cuba jaya. Perubahan tingkah laku yang
positif akan dicapai setelah berlakunya proses pengajaran dan pembelajaran
yang memberi impak kepada pengukuhan pengetahuan dalam memori. Struktur
pengetahuan akan berkembang dengan bertambahnya pengetahuan ke dalam ingatan
jangka panjang. Teori – teori ini sangat sesuai untuk diaplikasikan dengan
kanak-kanak berkeperluan khas. Perkembangan kognitif mereka sangat berkait
dengan pengetahuan sedia ada untuk membentuk satu pengalaman yang baru. Proses
pengajaran dan pembelajaran perlu memberikan ruang kepada kanak-kanak meneroka
sendiri bagi meningkatkan lagi keyakinan diri dan proses interaksi dengan rakan
dan bahan. Berdasarkan teori yang telah dibincangkan di atas, saya
berpendapat adalah sangat perlu bagi guru-guru mengaplikasikan kaedah dan
teknik dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Murid-murid diberi peluang
bergerak bebas menjalankan aktiviti dan berinteraksi dengan bahan dan guru.
Akhir sekali keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran saling
bergantung bersama antara murid, guru dan bahan.